Bismillah
Pertamanya saya ucapkan puji-pujian kepada Allah Jalla wa'Ala, tuhan semesta alam, selawat dan salam diucapkan ke atas junjungan nabi Muhammad dan keluarga. Alhamdulillah setelah hampir setahun tidak menulis diruangan blog ini, kembalinya penulis ke medan ini untuk berkongsi sedikit informasi, mungkin berguna pada penulis dan rakan-rakan pada masa akan datang. Dalam arus kemodenan informasi dihujung jari, maklumat tentang ilmu agama ini senang didapati sehinggakan ada segelintir yang tergelincir dalam memahami maksud dan tujuan seorang ulama untuk menyampaikan ilmunya. Lensa tulisan penulis pada kali ini ingin berkongsi tentang beberapa info Kitab al-Azkar milik Imam Nawawi rahimahullah dan sejarah penulisannya, serta beberapa jenis kitab lain lagi yang juga membicarakan tentang susunan zikir dan amalan seharian.
Kata bijak pandai "Jenguk pandang tindai-tindai; usul-usul, asal-asal, jangan ditinggalkan." Seharusnya pembaca perlu peka dengan kitab yang mahu mereka baca, lebih-lebih lagi mukadimah yang telah disediakan oleh penulis kitab. Supaya kita sentiasa berjaga-jaga, dan tahu tujuan penulisan kitab, sebelum kita ini terlebih lajak dalam menilai dan mengkritikan penulisan mereka.
1. Awal bicara, ingin penulis perkenalkan al-Imam an-Nasaie rahimahullah (wafat 303H) yang mencipta kitab Amalul
Yaum walllaillah, sebuah kitab yang menghimpunkan zikir-zikir yang boleh dipraktik oleh manusia. Sepertimana yang kita ketahui, beliau rahimahullah merupakan anak murid kepada al-Imam al-Bukhari rahimahullah. Seorang guru yang agung, pakar dalam selok belok ilmu hadis satu ketika dahulu. Dalam kitab Amalul Yaum Wallailah milik Imam Nasaie, penulis (cetakan Muasatur Risalah) ini membawakan sebuah riwayat tentang “tujuan” Imam Nasaie mengarang kitab Amalul Yaum walLailah ini. Antaranya, riwayat :-
Dalam kitab yang bernama Mu'jam As-haab as-Sodafu milik Ibnu al-Abbar rahimahullah (wafat 658H) bahawasanya Imam Nasaie berkata, Badr al-Hamamiy (wafat 310H) pernah berkata kepadaku (rujuk i) :
“Wahai Abu Abdar Rahman (an-Nasaie), aku suka untuk mengumpulkan doa-doa Rasulullah dan aku mahu mengamalkannya dan mewajibkan untuk diriku.”
Maka jawab Imam Nasaie : “Maka aku telah mencipta sebuah kitab amal siang dan malam.” Kemudian atas penciptaan tersebut, telah diberikan kepadaku sebanyak 500 dinar. Ibn an-Nahhas berkata, "Seorang lelaki dari kalangan huffaz hadith bersama aku yang turut sama mendengar riwayat ini dari Hamzah berkata kepada beliau, "Wahai Abu al-Qasim, pada zaman sekarang jalan ini diliputi onak duri, tiada seorang pun yang mampu melaluinya."
Mendengar itu, Hamzah pun tersenyum.
2. Seterusnya al-Imam Ibnu Sunni
rahimahullah (wafat 346H) dengan kitabnya yang namanya sama iaitu
Amalul Yaum walllaillah. Secara ringkasnya, nama penuh beliau adalah Ahmad bin Muhammad Bin Ishaq al-Dainuri atau lebih kenali dengan nama Ibnu Sunni.
3. al-Imam at-Tabaraani rahimahullah (wafat 360H) pula hasilkan kitab
ad-Dhua, juga himpunan zikir-zikir harian. Selepas itu, al-Imam
Baihaqi rahimahullah (wafat 458H) pula buat kitab ad-Da'watul Kabir
yang menghimpunkan kitab-kitab zikir juga.
4. Kemudian,
datanglah al-Imam an-Nawawi rahimahullah (wafat 676H) di dalam
Mukadimmah al-Azkar pula beritahu beliau ceduk banyak info dari kitab
Ibnu Sunni dan
buat satu kitab baru iaitu al-Azkar Imam Nawawi, juga menghimpunkan
zikir-zikir harian yang dipecahkan kepada 20 bahagian, setiap
bahagian terdapat sub bab yang dibahagi-bahagikan oleh Imam nawawi.
Supaya ia mudah untuk diamalkan dan dibaca oleh manusia. Menariknya
di dalam Mukaddimah kitab al-Azkarnya ini, beliau berkata:
al-Imam an-Nawawi telah berkata di dalam mukadimah kitabnya, al-Azkar :"Sekumpulan imam-imam menulis tentang amalan harian untuk siang dan malam. Mereka meriwayatkan di dalamnya dengan sanad-sanad yang bersambung dan jalur-jalur yang banyak.
Namun semua itu terlalu panjang dengan banyaknya sanad dan pengulangan sehingga menjadikan orang yang ingin mempelajarinya merasa jemu. Maka di sini, saya berhasrat untuk memudahkan hal tersebut bagi yang menginginkan.
Kemudian saya menghimpunkan kitab ini sebagai suatu ringkasan terhadap tujuan-tujuan yang saya sebutkan di atas, dan bukan untuk mengetahui sanad-sanadnya, kerana kebanyakan mereka tidak menyukainya kecuali sedikit. Tujuan yang sebenarnya adalah untuk mengetahui zikir-zikir tersebut, lalu mengamalkannya.
Kemudian saya menjelaskan hal-hal yang kelihatan samar bagi mereka yang ingin mencari petunjuk, dan insya-Allah sebagai ganti dari sanad-sanad yang tidak saya sertakan tersebut, saya akan menyertakan hal yang lebih penting lagi, iaitu MENJELASKAN status hadis tersebut sama ada sahih, hasan, dha'if, atau mungkar. Ini adalah yang lebih diperlukan oleh semua orang kecuali sedikit dari kalangan ahli hadis. Ini adalah suatu hal penting yang wajib untuk dipegang teguh, lagi diperlukan oleh para pelajar dari kalangan penghafaz, demikian juga dengan para imam, saya juga menyertakannya dengan beberapa dasar penting ilmu hadis, perincian hukum-hakam fiqh, kaedah-kaedah penting, galakkan, dan etika atau adab-adab yang penting yang peru diketahui oleh mereka yang mendalami tasawuf. Saya akan menjelaskan semua itu dengan bahasa yang mudah difahami oleh kalangan awam dan kaum terpelajar ”.
Ini merupakan satu kaedah yang dinampakkan oleh Imam Nawawi untuk pembaca kitab mulia ini. Sering kita terbaca kaedah dan metodologi yang diterapkan oleh Imam Nawawi dalam mukadimah kitab-kitab beliau, baik yang ringkas mahupun yang syarahan yang panjang. Tidak lain dan tidak bukan, kaedah ini membantu pembaca untuk beramal dan mengkaji lebih mendalam lagi di masa akan datang. (Terjemahan di ambil dari abusyahmin.blogspot.my)
5. Manakala
al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah (wafat 852H)
mentahrij hadis-hadis di dalam kitab al-Azkar ke dalam sebuah kitab khas yang
diberi nama Nataijul Afkaar Fi Tahrij Ahadisal Azkar Li Ibn Hajar.
Namun sepanjang pembacaan penulis dan seperti mana yang telah diberitahu oleh guru saya Ustaz Anwaruddin, kitab ini TIDAK HABIS DITAKHRIJ oleh
Ibn Hajar al-Asqalani rahimahullah, iaitu terhenti sehingga Kitab
Haji : Bab Zikir ketika Tawaf, Doa di Multazam.
6. Antara
kitab yang mensyarahkan al-Azkar pula ialah kitab yang bernama al-Futuhatur Rabbaniyyah
'alal Azkaarun Nawawiyyah yang dikarang oleh Muhammad Ali bin
Muhammad Allan al-Bakri as-Syafie (wafat pada 1057H). Antara ulama
moden yang saya tahu mentahqiq kitab ini (sebenarnye ramai lagi)
ialah Syaikh Syuib al-Arnaut rahimahullah (Wafat 1438H).
Moga-moga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada pembaca.
________________________________
(rujukan i) Sanadnya yang diringkaskan = al-Qaadi telah melihat sebuah kitab milik Ibn Nahas al-Bazar (wafat 416H) rahimahullah bahawasanya Hamzah bin Muhammad al-Kunani (wafat 357H) berkata, aku mendengar dari salah seorang sahabatku yang aku percaya pada mereka , berkata , aku mendengar Abu Abdur Rahman an-Nasaie rahimahullah berkata , telah berkata dan meminta kepadaku Abu an-Najm Baddar al-Hamamiy pada suatu hari...
((Semoga
Allah membalas jasa mereka semua))
Abu Hud Fhaiq Amrie al Mi'maariy,
Putrajaya.
Putrajaya.
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Comments
Post a Comment